Assalamualaikum :)

Saya banyak tulis pasal gadis tomboy dan lelaki lembut bukan nak suruh org tiru yg buruknya, tp tiru la yg baiknya. Xsemua benda nampak dgn mata kasar, guna mata hati dan jgn ambil ssuatu keputusan dan tindakan ikut hati, tp bfikir seiring dengan ilmu dan akal.

Please jgn tpengaruh dgn benda yg xsepatutnya ye, rasanya kalau pandai mbaca, mesti pandai menilai mana baik mana buruk, kan.. muahx syg sume !

*Jom add friend kat FB, Arisa Eriza :) hee, tqsm *

Isnin, 6 April 2015

Apartment 1 (horror based on true story)

Bab 1

Aku menapak ke bawah. Aku di sini untuk sambung studi selepas habis sekolah menengah. Universiti aku jauh dari rumah, jadinya aku dimasukkan dalam kategori anak perantau ala-ala lagu P.Ramlee. Nanti raya boleh nyanyi lagu ni.

Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dengan lagu
Dendang perantau..

Eh, itu bukan apa yang patut aku cerita. Lari topik betul. Em, apa kata kita buat sesi pengenalan diri masing-masing dulu. Aku ni bernama Anisa.. Anisa Wardah. Pewwwit, cantik tak nama aku? Bunga lagi tu, beb.. umur, nanti-nanti la cerita. (Ceh, kata sesi perkenalan.) Okay, umur macam biasa la, 19 tahun. Masuk matrik dan kemudian tercampak ke universiti ni. Rezeki ibu yang mengandung dapat anak pandai macam aku. He he.. ye ke pandai, pandai mengarut ye la kot.
" A.A, cepat la, kau ni lambat dah ni!" haa, itu buktinya aku memang pandai mengarut aje.
Itu dia kawan baru aku bernama Shamira. Aku suka aje nak panggil dia Sham Kamikaze, baru rock! Dan dia memang marah sebab orang panggil dia Amira tak pun Shammy. Shammy? (muka sarkastik) Baik Sham Kamikaze kan? Betul?
Dia tarik aku yang masih boleh berkhayal padahal kelas dah nak bermula.
" Eh, relaks la, teman. Baru 9.50 pagi," aku berkata. Baru duk berkhayal tentang diri sendiri di pagi hari yang tenang.
" Weh, nak sampai ke U nanti dah 15 minit. Nak lari naik bukit fakulti lagi dah 8 minit sharp! Pukul berapa sampai ke kelas macam tu?!" wah, singa betina pun kalah!
Aku buat muka derk. Hek eleh, siapa entah yang lambat tadi? Sibuk pakai lip tint lah, bedak asas lah, bedak serbuk lah, haa dah lambat bising kat aku pulak.
" Hey, sayang, aku dah tercongok kat bawah ni dari pukul 9.38, okay? Aku tunggu kau yang tak turun-turun," aku sambung bebelannya. Sikit aje sambung, nada pun slow, steady, macam aku. Yeah, truly me! Cool and steady.
Aku pandang apartment cantik ala kondo tempat aku menginap. Disebabkan universiti tak cukup penempatan untuk para pelajar baru, aku dan beratus-ratus (adakah aku sangat melebih-lebih?), em ratus-ratus dalam dua ke tiga ratus pelajar baru ditempatkan di apartment luar universiti. Satu rumah ada tiga bilik, dua bilik air. Luas dan cantik, siap almari build-in, meja studi dan katil.
Di bawah, ada kolam renang. Nanti rajin-rajin, boleh la aku merendamkan badan di dalam kolam tu, sebab nampak macam sangat nice. Walaupun hari tu aku pernah ternampak ada abang cleaner celup mop dalam tu untuk mop lantai. Perfect! Tak payah bawak baldi ke hulu ke hilir. Jadi, kalau kau rasa gatal-gatal badan, then you know who..
 " Cepat, nanti tertinggal bas!"
" Jalan kaki aje kalau tertinggal, senaman,"
" A.A! No time for your LAME joke!"
" Wow, but we have SO much time for your make-up routine," dia berhenti dan menjeling aku tajam. Aku jungkit bahu dan buat muka 'don't know'. I'm telling you the truth, really.
" Thank God, tak terlepas bas. Abang! Tunggu!" Sham Kamikaze a.k.a Shamira menjerit dengan pitching orang azan pakai mikrofon, sambil terlambai-lambai ke arah bas khas universiti yang dah pun tutup pintu automatiknya itu separuh. Dan dah nak jalan tapi mungkin itulah namanya rezeki, abang yang lebih sesuai dipanggil pakcik itu brek sementara menunggu aku dan Shamira naik. Aku kelelahan berlari, akibat dah lama tak bersenam. Shamira boleh aje relaks walaupun berlari dengan kasut tingginya. Kami masuk dan terus duduk. Shamira berterima kasih yang amat pada 'abang' basnya, siap bagi kelipan-mata-membawa-maut lagi.

" A.A, aku lupa bawak buku la," Shamira mengadu selepas sampai ke kelas. Dengan muka kononnya macam anak kucing comel, dia meminta simpati.
" Ala, sher aje dengan aku, no hal," aku balas. Tadi dah kena jeling dengan pensyarah sebab lewat, dah la masuk menyelinap diam-diam dari pintu belakang dewan.
" Beb, aku tak sedap hati la dengan rumah kita," aku bisik perlahan pada Shamira. Tudung bawal plain ungu aku betulkan.
" Kenapa?" perlahan jugak, sambil mendekatkan mukanya pada aku.
" Nanti aku cerita, prof duk jeling-jeling pulak tu,"
' Cerita sekarang,' tulisnya pada sehelai kertas kecik. Buku aku rupanya dikoyak. Ceh.
' Semalam aku dengar bunyi pelik la,'
' Bunyi apa?'
' Em, tak ada apa-apa la, beb,' tiba-tiba baru aku sedar Shamira tak sesuai untuk aku luahkan perasaan. Dia penakut! Yang hamat!
' Baik kau cakap,'
' Nothing la, aku rasa mungkin tikus kot,' dia buat muka mengerut. Rumah tu auranya memang lain macam sejak pertama kali aku jejakkan kaki. Apartment yang mempunyai 11 tingkat itu terbayang di dalam fikiran. Di samping universiti aku, kolej lain pun ada membuat penempatan di sana. Kolej Islam. Selama empat hari aku di sana, semalam aku mula rasa tak sedap hati yang agak membuak.
Aku sebilik dengan Shamira di bilik tengah. Dia tidur bawah, aku tidur atas di katil double-decker. Bilik utama ada tiga orang yang lain, dan bilik kecil seorang. Jadinya satu rumah ada enam orang. Aku teringat kejadian semalam. Em, kalau daripada apa yang aku cakap pada Shamira, memang tak logik. Sebabnya, tikus mana nak memberus baju pagi-pagi buta dalam bilik air? Ha ha, tak ke imaginasi tinggi sangat tu? Ingat Ratatuille ke?

Imbas kembali
" A.A, teman aku pergi tandas, aku nak buang air la,"
" Beb, aku tunggu kat sini aje, aku bukak pintu," aku tengah busy dengan game Counter Strike ni, time-time ni jugak dia nak ajak teman. Aku jawab endah tak endah. Pintu bilik air aku jeling, setentang dengan meja studi yang aku letak laptop untuk main game. Tak jauh pun, dalam tiga, empat langkah macam tu, sampai la ke bilik air tersebut.
" Ala, please la, please, tak tahan dah ni," aku jeling jam di tangan. Pukul 12.34 pagi. Oh, patut la dia ajak aku teman. Kawasan apartment dah mula sepi sikit, kadang-kala aje dengar budak-budak laki main air ataupun lepak di kolam renang sambil mengusik awek-awek cun yang lalu. Itulah dia contoh budak bertamadun universiti aku. Sebab aku rasa kalau budak kolej Islam memang tak ada dah nak melepak waktu-waktu macam ni, warden diorang dah tetapkan, pukul 11 mesti dah dalam bilik. Kecuali itu budak-budak yang suka fly ataupun suka melanggar peraturan.
" Okay," aku bangun dan mencabut headphone hadiah hari jadi daripada abang yang dah aku longgarkan daripada kedudukannya di telinga aku tadi. Aku menapak dan menunggu di depan pintu bilik air. Aku menguap sambil mengusap rambut ke belakang. Aku yang sedang bersandar di dinding sebelah pintu bilik air tiba-tiba terkejut dengan apa yang aku nampak di dapur. Dua cahaya merah bulat-bulat. Aku terus berkerut dan terus tercas, kantuk pun hilang. Aku luruskan badan dan kelip mata sekali, dua cahaya tadi hilang dari pandangan. Cis! Apa benda tu!
Aku abaikan apa yang aku nampak tadi selepas Shamira keluar dari bilik air. Dapur yang gelap aku pandang sekilas. Rasa tak sedap hati bagai menggunung..
" Jom. Thanks temankan aku," Shamira tarik tangan aku masuk ke bilik dan tutup pintu. " Kau okay, A.A?" dia tanya lepas aku diam dan mungkin terpucat kot tadi.
" Okay, okay, tak ada hal," aku balas dan duduk kembali di kerusi, niat nak sambung Counter Strike tak jadi bila rasa tak sedap hati aku tadi tak dapat aku nak kambuskan lagi. Aku pandang Shamira yang dah baring di katil. Dia mencapai sebuah novel dan menatapnya, dan hilang dalam dunia novelnya sendiri. Tinggal aku yang masih asyik meneruskan aktiviti mengkebil-kebilkan mata dengan dahi berkerut.
' Khayalan aku aje kot,' aku berbisik sendiri. Aku capai headphone dan kembali meneruskan pemburuan high score dan level-up selepas aku dah lega sikit sebab aku baca surah an-Naas. Surah terakhir yang ke 114 di dalam al-Quran.
   
Dengan nama Allah yg Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Katakanlah (Ya Muhammad) : aku berlindung kepada Tuhan yang mendidik   manusia.
Raja manusia. Tuhan manusia. Daripada kejahatan bisikan syaitan biasa  bersembunyi,
Yang membisikkan dalam hati manusia. Iaitu bangsa jin dan manusia.

Mentang-mentang ketot kan, bolehla hafal. Yang panjang-panjang, entah bila nak hafal sebab dok sibuk dengan game aje kerja aku.. kena berguru dengan budak kolej Islam ni! He he.
Aku kembali hilang di dalam game sampai tak sedar dunia yang fana ni dah berganjak ke dini hari. Pukul 2.45 minit tepat. Duh! Main game tak hirau kiri kanan dah! Tadi bukan main mengantukla konon.
Sham Kamikaze dah tidur. Eh, Shamira. Sejak bila aku sebilik dengan Sham Kamikaze, ha ha. Entah! Aku cepat-cepat bergegas menutup laptop dan lampu, kemudian panjat tangga katil double decker tersebut perlahan-lahan walaupun dalam kelajuan yang pantas, takut bunyi bising katil dan gegarannya mungkin mengganggu tidur Shamira. Aku letakkan badan dan membuat bunyi lega. Lega dapat berbaring selepas penat duduk hingga mengganggu tulang belakang dan tulang pinggul.
Aku kebil-kebilkan mata. Eh, apesal mata ni mengalami kesegaran yang nyata ibarat sayur-sayuran di pasaran? Aku kumat-kamitkan bibir membaca doa tidur. ' Dengan nama Allah aku hidup dan aku mati,' kemudian aku sambung dengan al-Fatihah, ayat Kursi sambil melayan mata yang alhamdulillah makin lama makin nak tertutup sampai la aku terdengar bunyi. Aaaa... stres! Aku nak tidur, esok kelas awal pagi la! Ugh!
Aku membatukan diri. Aku dengar bunyi pintu bilik air dibuka, kemudian terdengar pula bunyi air ditadah di dalam baldi. Elok aje lepas tu, dia mula memberus. Allah! Minah mana bertuah memberus pakaian pagi-pagi buta ni? Aduhaiii.. ayam pun tidur lagi tau tak??
Aku hairan, takkan Aina nak bangun basuh baju pagi-pagi buta macam ni? Gigih betul. Aku teringat Aina yang berada di bilik kecil, cuma dia yang ada harapan membasuh baju, sebab tiga orang lagi ada bilik air sendiri di dalam bilik tidur. Shamira pulak dah lama tidur, takkan la tiba-tiba bangun berjalan pergi memberus baju? Terbaik kalau ya! Tapi, apesal la si Aina nak bangun marathon basuh baju pepagi buta macam ni pulak? Aiseh..
Aku terus diburu rasa hairan sebab dengar bunyi orang memberus tu baik punya kuat. Apa dia letak mikrofon ke dalam bilik air? Serius dengarnya macam orang tu memberus di sebelah aku. Macam dia buka pintu bilik air, dan aku pun buka pintu bilik. Aiya, stres, stres. Aku beranikan diri jeling, betul ke aku tak tutup pintu, tapi jawapannya tidak betul. Aku tutup aje pintu yang memang dari tadi tertutup dengan rapat dan dengan rasminya. Aku tutup mata kembali dan ambil mp3, sambungkan earphone dan pasang di telinga, baik dengar orang mengaji daripada dengar minah memberus, dan akhirnya aku tertidur entah bila kemudiannya..

Aku bangun pagi tu, selepas Shamira cabut earphone dan goyangkan badan aku. Aku bukak mata yang kesilauan kerana Shamira dah pun membuka lampu kembali. Aku tenyeh-tenyeh mata yang aku kecilkan untuk melawan silauan panahan lampu.
" A.A, bangun, solat,"
" Pukul berapa ni?" aku garu kepala sikit sambil merenung handphone. Bateri mp3 pulak dah berkelip kehausan kerana sepanjang pagi aku biar dia terpasang mengalunkan kalam Allah. Aku off kan mp3 tersebut dan bangun duduk, cuba hilangkan mamai. Dalam mamai-mamai, aku teringat kejadian semalam.
" Beb, semalam kau tidur, ada bangun pergi bilik air tak?" aku tanya pada Shamira sambil melepaskan kaki ke bawah. Masih malas nak turun tangga ke bilik air. Padahal, tangga katil aje pun. Bukan tangga Batu Caves.
" Tak ada, aku pergi sebelum tidur tu ajela," jawab Shamira yang dah pun melabuhkan punggungnya kembali ke katil, nak sambung tidur lepas subuh. Good job, my dear. Rezeki lambat masuk kalau tidur lepas subuh. Tunggu matahari naik dulu kalau nak tidur pun, kata orang la, aku pun tak tau betul ke tak.
" Aina, semalam awak ada basuh baju?" aku memulakan interview Selamat Pagi Malaysia bila aku nampak Aina di dapur sedang mengacau air di dalam cawan. Dia terkejut tiba-tiba aku buat temuramah dengan muka air liur basi.
" Em, tak ada. Saya tidur. Petang ni baru nak basuh baju," aku tarik nafas dan lepas malas. Termenung sekejap. " Kenapa, Wardah?"
" Err, tak ada apa-apa, saja aje. He he, okay, thanks, awak.. selamat pagi," aku balas dan terus ke bilik air. Persoalan semalam masih terabai tanpa jawapan yang pasti.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Best 😁 ni novel ke cerpen?

Arisa Eriza berkata...

klu ikutkan novel hihihi tqsm sebab sudi baca! ;))