Bab 1
‘ Tok wan, buat apa dekat luar ni? Dah lewat la, tok wan . Baik tok wan masuk cepat, dah la tak pakai baju. Tok wan ni. Ketar lutut nanti, siapa yang susah? Joe jugak.’ Bebel Joe kepada datuknya yang berada di pelantar sambil menghisap rokok daun. Joe duduk di sebelah datuknya yang umur mula menginjak ke 85 tahun itu.
‘ Tok wan rindu tok Miah kamu. Garang-garang dia pun, tapi hati dia baik. Tak pernah lupa apa yang tok wan nak. Kalau tok wan balik je, mesti dia hidang air kopi.’ Ujar tok wan Desa dengan loghat utaranya yang pekat.
Mula dah tok ni. Pantang lepak kat luar, mesti sebut pasal nenek yang dah lama arwah tu.
‘ Tok Miah dah lama tak ada la, tok wan. Kami ni pun hidang je kopi untuk tok wan kan? Apa masalahnya?’
‘ Tak sama dengan kopi yang dia buat. Lain.’
‘ Yela tu, tok wan. Dah dah, tak nak smoking. Tua-tua tak sihat smoking.’ Joe bising sambil merenung ke arah tok wannya di dalam kesamaran lampu kalimantang dari dalam rumah.
‘ Ala, kamu tu pun sama je, pandai nak bising kat tok wan.’ Ujar tok wan sambil terus menghisap rokok daunnya yang tinggal sedikit selepas menjeling cucu perempuannya di sebelah.
‘ Joe muda lagi, tok wan. Takde masalah nak smoking-smoking pun. Tok wan tu dah makin berumur, makin nampak ketuaannya, tak boleh, tak boleh.’ Joe menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menggulung rokok daunnya yang ditambah dengan tembakau di dalamnya.
Dia bukan lah hantu rokok. Kalau tak dapat pun, takde la sampai terguling-guling mencari rokok jugak. Rokok daun sekadar penemannya semasa bersembang dengan datuknya itu.
‘ Macam mana dengan kenduri adik kamu tu, si Joyah?’
‘ Em, sekarang ni Joe tengah usaha nak kumpul duit ni, tok wan. Ni ha, baru dapat jala baru, Pak Man mintak tolong baiki. Dapatla upah sikit-sikit.’
‘ Jala apa? Benang ke tangsi?’ Soal datuknya sambil lewa sahaja.
‘ Benang.’
‘ Bila nak mula buat? Nanti dah sampai masa orang tua tu tanya jala dia baru la kamu dok sibok-sibok bising tak siap lah apa lah. Nak harapkan tok wan ni memang tak boleh la, cu. Tok wan ni muka kamu pun dah nampak biji mata dengan gigi aje sebab tu yang paling terang pun, kalau adik kamu tu lagi la tok wan nampak macam kuali gantung dekat dapur aje dah, maklum lah dah tua-tua ni, syukur Alhamdulillah tok wan boleh bangun lagi, kalau tak susah la kamu nak jaga.’ Sekali dapat bebelan orang tua ni memang berjela.
‘ Allah, takat tok wan ni, apa la yang susah sangat nak jaga, bak kata mak, dia pun boleh jaga, tak gitu, mak?’ perli Joe sambil memandang ke arah ibunya yang sedang menjahit jahitan tulang belut pada leher baju kurung yang hampir siap itu. Selain membuat kuih dan nasi lemak untuk dijual di keliling kampong, ibunya itu mengambil juga tempahan baju kurung sebagai penambah elaun sara hidup mereka anak-beranak.
‘ Yela tu, tok wan. Tapi tok wan tu kena beringat, jangan asyik dan rajin sangat dok menghisap rokok tu, tak baik untuk kesihatan. Sekarang ni pun asyik terbatuk-batuk aje, risau mak ni ha.’ Bebelan tok wan tadi disambung pula dengan bebelan ibunya. Tok wan hanya sengih di luar di bawah kesamaran cahaya bulan dan lampu.
‘ Hana, sudah-sudah. Bawak tok wan kamu pergi tidur. Dah lewat ni, nanti makin teruk pulak batuknya tu.’ Ujar mak seraya bangkit daripada duduknya menuju ke arah pintu luar yang mengarah ke pelantar itu.
‘ Jom, masuk, tok wan. Esok je sambung balik ‘memori daun pisang’ tok wan tu, okay?’ Joe ni mulut memang suka perli orang. Tak berhabisnya memerli orang tiap masa. Namun disebabkan itu lah hanya dia seorang sahaja yang menjadi kesayangan datuknya itu, sebab kalau kena perli pun dia tak kisah, sebab tu dia sendiri sedap memerli orang lain.
‘ Ala, korang ni risau sangat pasal tok wan ni. Tok wan sihat lagi, korang tak payah risau la.’ Tepis tok wan apabila Joe menghulur tangannya untuk membantu datuknya itu bangun.
‘ Tok wan tu dah berumur, bukannya muda lagi, lagipun kami ni sayangkan tok wan, tu la yang dok kisah sangat ni, kalau tak sayang, biar aje la tok wan nak berenang ke, nak terjun laut ke, kami tak kisah, kan mak? Tapi, jangan pi terjun laut pulak, tok wan na, he he gurau-gurau aje di tengah malam yang damai ni.’ Sengihan Joe melebar melihat pada datuknya yang menjelingnya tajam.
‘ Aku luku kepala baru lega budak ni.’ Ujar tok wan sedikit bengang dengan cucunya itu. Tak habis menyakat tiap masa.
‘ He he luku la, tok wan. Jangan terjun laut sudah.’
‘ Terjun, terjun. Aku terjun sungguh-sungguh nanti, macam mana?’
‘ Joe terjun sekali he he. Takat terjun laut tu petik jari aje, tok wan.’
‘ Pandai la, kamu. Dah la, tok wan masuk dulu. Adik kamu mana? Mintak dia pasang kelambu untuk tok wan kejap.’ Nama Joyah dipanggil. Tak lama kemudian, Joyah datang dengan muka ceria.
‘Allahuakbar! Kenapa la haa, aku tua-tua macam ni nampak lagi benda bukan-bukan macam ni. Astaghfirullah. A’uzubillahiminas syaitanir rajim, puh!!’ Hembus tok wan ke muka Joyah sambil menutup mata. Joyah, Joe dan ibu mereka kehairanan.
‘ Kenapa ni, tok wan? Apa dah jadi? Apa yang tok wan nampak?’ Soal Joe laju.
‘ Hai, hangpa semua tak nampak ke apa yang aku nampak tadi? Ni ha, aku hembus pun dok ada lagi depan aku ni, la hai.’ Keluh tok wan berat sambil menunjuk ke arah cucunya Joyah yang disangkanya makhluk halus itu.
‘ Ha ha, tok wan, tok wan. Ni bukannya benda bukan-bukan, ni cucu tok wan la ni, menempek bedak sejuk kat muka. Nak menambah seri pengantin lah katanya.” Gelak Joe sambil menepuk dahi.
‘ Eh, kamu ke, Joyah? Subhanallah, mujur la aku ni kuat semangat, kalau tak, arwah dah aku sakit jantung. Lain kali tempek siang-siang. Ini dah malam macam ni nak menempek jugak. Sayangi lah datukmu ini.’ Bebel tok wan yang sering menggunakan ganti nama ‘aku’ jikalau dia mula membebel. Sambil membebel, tangannya menepuk-nepuk bantal pada tempat tidurnya setiap malam itu. Dia lebih selesa tidur di ruang tamu, luas katanya berbanding di dalam bilik yang berwap dan sempit itu.
‘ Itu la kau, tak pernah-pernah nak pakai, tiba-tiba nak memakai, ish, ish, ish. Bedak sejuk tahun bila kau cekup ni, dik oi? Seingat aku la dah lama aku tak nampak orang-orang kat rumah ni pakai bedak sejuk.” Soal Joe sambil merenung adiknya yang sedang menggantungkan kelambu untuk datuk mereka. Sekejap ke penjuru sana, sekejap ke penjuru sini. Dia pula duduk bersila sambil bersandar di dinding kayu rumah mereka itu, bibirnya masih mengepit rokok daunnya yang masih belum habis dinikmatinya tadi.
“ Entah, Joyah pun tak tau la, kak. Joyah ambil yang ada dekat almari tu aje. Kenapa kak? Joyah dah cari tarikh luput dia, takde pun.”
“ Hai, Joyah, Joyah. Kau tau tidaknya, bedak sejuk tu tahun 60-an punya, mak pakai masa nak mengorat abah. Yang kau pergi pakai tu siapa suruh? Timbul jerawat batu aku tak tau ar. Jangan nanti dok meliuk lintuk kat aku pulak mintak bawak kau pergi berubat.”
“ Betul ke, mak??” Joyah bermuka risau namun cuba ditahan supaya bedak sejuk yang semakin mengering itu tidak membuatkan mukanya berasa tegang. Tangannya memegang lehernya dengan muka penuh semangat ingin tahu.
“ Hish, memandai aje kamu ni, Hana. Mana ada. Yang kamu ni pun satu, Joyah. Percaya sangat cakap kakak kamu ni kenapa? Kamu pun tau kan dia ni suka mengarut tak tentu hala?” Masuk campur orang tua itu setelah menyedari anaknya yang pertama menyakat adiknya yang lurus bendul itu.
“ Hari tu mak yang cerita kan? Mak pakai bedak sejuk tiap malam masa muda-muda dulu sebab nak bagi abah nampak mak cantik, kan?”
“ Memang la, tapi itu kurun bila punya cerita? Mustahil la tak habis-habis lagi.” Ujar mak perlahan, nada malas layan. Bukan tak biasa si Johana ni mengarut benda bukan-bukan.
“ Mana la tau kan, mak. Dalam rumah kita ni kan banyak barang-barang purba. Seterika arang pun ada, tak mustahil jugak bedak sejuk tu pun purbakala punya bedak sejuk.” Joe cuba menegakkan benang basah.
“ Dah, diam. Kamu ni kalau merapu tak ingat logiknya kan? Pergi tidur lah! Mengarut tak tentu hala. Siapa entah mengajar, hish!’ Mak sudah penat nak bertekak dengan anaknya itu. Dah besar panjang tapi perangai serupa budak tak cukup umur. Macam mana nak kahwin aku pun tak tau la. Ish! Risau ibunya sambil mencebik bibir memandang ke arah anaknya. Yang dia tau, menyakat orang, merapu tak tentu hala, tapi daripada sudut lain, Johana lah yang menjadi ‘anak lelaki’ di dalam keluarga mereka memandangkan anaknya yang tiga orang itu semuanya perempuan. Tempang juga kaki suaminya jika Johana tiada. Johana lah harapan penjaga rumah jika suaminya tiada. Biasa lah orang lelaki, malam-malam kerjanya melepak di kedai kopi. Tengah malam baru nampak batang hidung.
“ Tak boleh tidur lagi la, mak. Jala tu tak siap lagi. Mak nak tolong baiki ke semangat-semangat suruh Joe tidur?” Soalnya sambil membuang puntung rokok daunnya ke dalam bekas khas yang dibawa ke hulu ke hilir dari tadi.
“ Apa pulak mak nya, Hana oi? Mana la mak nak reti benda-benda macam tu.”
“ Ha, jadinya Joe lah yang tak boleh tidur. Mak pergi tidur la. Dah pukul sepuluh. Esok nak bangkit awal nak bungkus nasi lemak pulak.” Ujar Joe sambil mengurut-urut perlahan bahu ibunya itu. Lega sedikit lenguhnya dari tadi menjahit.
“ Kuat sikit, ya Allah lega sikit mak rasa.”
“ Okay la, mak. Sambung esok pulak na. Joe nak cuba siapkan jala tu malam ni.” Jarinya menjentik lantai papan rumah mereka tiga kali sebagai membuang angin yang diurut keluar daripada badan ibunya itu menurut petua orang tua-tua. Kemudian bangun membetulkan pinggang sambil berjalan menuju ke kelambu tempat pembaringan datuknya. Dia menjenguk-jengukkan kepalanya ke dalam kelambu itu, melihat-lihat jika ada nyamuk yang terlepas masuk ke dalamnya. Dilihat datuknya itu sudah pun sedap dilamun mimpi.
“ Jangan tidur lewat, esok nak turun laut dengan abah.” Pesan ibunya lembut. Anaknya itu memang sangat penyayang dan peramah sebenarnya. Terlebih peramah pun ya jugak.
“ Ye, mak.” Joe berjalan ke biliknya yang dikongsi bersama-sama dengan adik beradiknya yang lain. Dilihat adiknya yang bongsu itu sedang mentelaah pelajaran.
“ Haa, bagus. Macam ni la adik aku. Rajin study. Tapi jangan study sambil dengar radio. Nanti tak masuk dalam kepala. Bak pinjam kejap radio kau ni, dik.” Kata Joe kemudian mencabut earphone radio kecil adiknya itu. Adiknya mencuka mendengar alasan kakaknya untuk mencekup radionya.
“ Ala, kakak ni! Kacau la orang nak dengar lagu Hindustan!” Muka stress aje memandang muka kakaknya yang sedang sengih puas hati dapat menyakat adiknya.
“ Cool la, sayang. Aku pinjam kejap buat teman nak perbaik jala tu kejap. Nanti aku bagi la balik. Ke kau nak teman aku baiki jala tu? Kalau kau nak layan Hindustan, teman aku kat luar. Kalau kau tak nak teman, kau bagi aku radio ni. Okay?” Radio kecil berharga RM 5.90 di kedai cina di pekan itu menjadi taruhan.
“ Kau nak yang mana?” Soal Joe lagi setelah adiknya memandangnya senyap dengan muka protes tak ingat.
“ Yela, kakak memang kejam, malas layan! Ambik la nak ambik sangat!” Merajuk sakan pulak dah.
“ Aiyo, adik manis. Sejak bila pandai merajuk dengan aku ni? Siapa ajar ni, em?” Joe bermain kata sambil bersandar di dinding berhampiran.
“ Yela, kakak tu suka kacau adik nak study. Suka kacau barang-barang adik!”
“ Ala, dik. Radio ni aku jugak yang belikan, kan? Berkongsi kan amalan yang sihat gitu untuk mengelakkan pembaziran. Okay la nanti aku mintak ayah beli lagi satu untuk kau, satu untuk tok wan, satu untuk mak, satu un...”
“ Yela, yela! Ambik jela!” Jeling tajam ke arah kakaknya yang sedang menyengih di sebelah.
“ Apanya lagi ni, Hana? Kalau tak usik adik sehari tak boleh.” Jenguk mak dari luar setelah mendengar kekecohan dari dalam bilik.
“ Takde apa-apa la, mak. Okay, dik, aku pinjam ni kau pergi tidur, okay? Muahh love you lah, ha ha!” Ciuman di pipi adiknya itu mengakhiri perebutan radio itu kemudian adiknya itu kembali membuat kerja sekolahnya yang tergendala seketika tadi. Sudah masak dengan usikan kakak sulungnya itu. Kalau dia merajuk aje, ubatnya cium di pipi, rajuknya akan hilang begitu saja. Hanya kakak sulungnya itu saja yang pandai memujuk dan mengambil hatinya, dan tahu rahsia menghilangkan rajuknya sekelip mata.
Joe menyumbat earphone radio tersebut ke telinganya sambil mencari siaran lain. Asyik Hindustan je, kau tak boring ke, dik? Bebel Joe di dalam hati. Tangannya mula mencapai jala dan duduk di pelantar bertemankan lampu minyak tanah untuk menerangi tempatnya membuat kerja itu. Lampu kalimantang dari dalam rumah tidak cukup untuk menerangi. Air laut kedengaran sayup-sayup di balik ketidakjelasan stesyen radio yang sedang didengarnya itu. Bau masin jugak menyusup ke hidungnya. Hidungnya sudah biasa sangat dengan bau air masin itu sehingga bau itu tidak mendatangkan apa-apa perasaan baginya lagi. Dan dia pun mula mengait jala tersebut dan mencari lubang yang menyebabkan kerosakan pada jala itu. Seketika, dia hanyut dibuai keasyikan membaiki jala sambil melayan lagu Melayu evergreen yang diputar oleh Suria fm.
2 ulasan:
kk.. best laa novel yg da publish tu7u..
kak.. Zack tuu lebih kurang watak(prangai) akak ehh?
Kak mmg bahasa akak bombastic abiz.. (^_^)3 unik!
haha dah 3 tahun br perasan komen ni. sori rafieq. n tkasih dear coz suka karya akk :) zack tu imaginasi saje hhi!
Catat Ulasan