Minggu Haluan Siswa yang memenatkan aku sudah pun berlalu. Sudah cukup seminggu aku berada di universiti ini. Pening kepala dengan nak mengisi borang tu, borang ni, serabai aku! Tapi takpe la, sebabnya bukan senang nak dapat masuk U ni, aku antara orang yang terpilih, bak kata PM (Pembantu Mahasiswa) di kolej aku.
Kolej ni bagi aku nampak cantik sebabnya sangat unik. Bangunannya diasaskan seperti rumah Melayu lama, yang lainnya hanya ia diperbuat daripada batu. Kelilingnya pula hutan, macam hutan simpan pun ada. Pagi-pagi memang seronok sebab nyaman dan tenang. Tapi tak la tenang sangat, sebab ada beberapa kawanan makhluk ciptaan Tuhan dari spesis beruk dan monyet. Cipan pun aku agak ada dalam hutan ni cumanya dia tak menunjukkan diri kepada umum.
Aku selalu ternampak pelajar-pelajar perempuan menjerit nyaring bila spesis beruk ni mengejar mereka, kesnya sebab beruk dan monyet memang pantang nampak beg plastik, nanti haiwan-haiwan ni akan fikir ‘ Makanan!’. Dan ayat yang selalu keluar daripada mulut para pelajar yang diganggu ialah “ Oh, I hate you so much, beruk!” Tapi pada aku, mereka tak layak dibenci, sebabnya manusia juga yang mula-mula mengganggu tempat tinggal mereka.
Petang yang sedang merangkak ke arah senja itu, aku menolak pintu bilik aku yang tidak berkunci. Kelihatan Am sedang duduk-duduk di atas katilnya sambil terhangguk-hangguk. Telinganya ditutup dengan headphone. Layan lagu rock jiwang lagi la tu, tak pun rock kapak. Kasut sukan Nike yang diimport dari Thailand itu aku buka dan aku letak di atas rak kasut di luar bilik yang aku bawa dari rumah tempoh hari. Peluh yang keluar selepas aku penat bersenam tadi aku lap menggunakan tuala kecil yang tersidai pada bahu.
“ Assalamualaikum.” Perlahan aku berbisik demi melangkahkan kaki ke dalam bilik.
“ Wei, dah maghrib ni. Insaf-insaf la sikit, dengar orang mengaji ke ada jugak faedahnya daripada dengar lagu rock tak tentu hala ni.” Bebel aku pada Am sambil menarik headphone dari telinganya.
“ Ala, kau ni Rul, dari dulu sampai sekarang asyik membebel aje tak habis-habis. Kau ni memang stok imam kampung betul la.” Perli Am dengan muka protes sambil mata merenung aku. Headphonenya dibetul-betulkan kedudukannya. Bengang pun ada aku tengok daripada air mukanya.
“ Stok imam ke, stok ayam ke, baik kau off lagu-lagu tu dan solat, maghrib tak lama ni, karang tahu-tahu dah Isyak.” Aku bising padanya lagi memanjangkan bebelan aku. Sikit pun aku tak hairan dengan komen berbisanya tu. Dia ni memang kena bebel selalu, kalau tak, solat entah ke mana, mengaji entah ke mana. “ Jemaah dengan aku.” Ayat last tu aku tengok Am tarik muncung sumpah lagi panjang daripada paruh ayam!
' Wei, kau tak dengar ke pasal kolej kita ni?' Tanya Am selamba. Tapi, muka tetap serius tak boleh blah.
' Kenapa?' Aku bertanya acuh tak acuh sambil membaca komik. Bagus betul! Dekat U pun boleh nak membaca komik lagi. Tapi takpe jugak, sebabnya kuliah pun belum mula lagi. Selalunya kalau aku pergi kuliah pun sekarang ni, pensyarah akan masuk tapi mereka hanya akan bercakap benda yang ringan-ringan tak pun bebel benda yang berfaedah aje.
Yela, pelajar baru ni kena bagi motivasi banyak sikit sebabnya baru merasa perubahan suasana dan budaya yang berlainan tak sama macam di sekolah dulu. Di universiti, pelajar harus pandai mencari ilmu sendiri, jangan harapkan ilmu yang pensyarah bagi aje, alamatnya memang rugi la dapat ijazah sarjana muda, tapi ilmu yang dapat tak banyak mana. Rugi masa tiga tahun kalau tak digunakan sebaiknya untuk menimba ilmu.
' Aiseh, kau ni memang pending betul la, Rul! Kolej kita ni berhantu, siot!' Am bercerita dengan semangat waja. Perkataan ‘hantu’ disebut lantang tak bertapis langsung!
' Ler, kalau ya pun, kenapa?' Aku malas nak melayan kerenah si Am ni. Bukan betul sangat budak ni. Mereng sikit. Kekadang tu orang cakap lain, dia faham ikut lain. Aku dah masak sangat dengan perangai dia, bukan baru semalam aku kenal dia, dah lama dari tingkatan satu lagi.
' Kau tak takut ke, beb?' Muka penuh excitednya memandang ke arah aku. Tangannya pula laju menebar selimut berwarna merah jambu yang sepadan juga dengan warna cadarnya yang bercorak teddy bear berlatarkan warna merah jambu dan ungu. Selimut itu ditebar bagi menutupi badannya hingga ke dada. Teddy bear berwarna krim sebesar bantal dipeluk erat kemudian dicium penuh kasih. Jangan tak tau, ada aje lelaki main teddy bear okay, contoh terdekatnya ialah Am. Memang tak boleh tidur kalau takde teddy bear krim yang dia panggil ‘Manje’ tu. Uhh, nama pun dah gedik semacam aje aku dengar. First time dia beritahu aku nama bear dia tu, aku bantai gelak sampai kejang perut dan keluar air mata. Dia pulak tarik muncung panjang sedepa dia tu la, apa lagi kan.
“ Kau jangan Rul, ini kekasih hati aku yang bagi tau. Kau ada? Takde kan?” Ala-ala gedik Am membalas bila aku gelak makin kuat. Kena istighfar dan selawat 33 kali baru la gelak aku terhenti masa tu. Sampai sekarang aku akan sengih seorang diri bila teringat hari dia mengheret bear besar gedabak tu masuk dorm di asrama sekolah dulu.
' Biasa aje. Dahla, kau tidur la, aku nak pergi toilet kejap.' Balasku laju. Aku lantas menutup komik ‘Pakar Judo’ dan segera ke tandas. Aku membelek jam di tangan aku yang berbulu lebat ni, baru 11.30 malam. Awal lagi nak tidur pun. Aku memang kaki tidur lewat. Pukul 2, 3 pagi selalunya baru aku tidur. Apa kelas aku nak tidur awal-awal, lagipun sejak bermulanya orientasi universiti ni, aku sentiasa dilatih tidur lewat, bangun awal, yang bererti menyengguk bila dengar ceramah. Sampai kan solat Subuh pun aku pernah terlupa aku tengah solat, boleh la pulak aku tertidur masa tengah sujud! Kritikal gila masa tu! Fasilitator pun sampai naik hairan aku doa apa dalam sujud sampai tak bangun-bangun. Boleh kalah ustaz lamanya. Sudahnya terkantoi bila aku terbaring tak sedar diri, mengikut cerita Am pada aku.
Selepas mengambil wudhuk dan memberus gigi, aku menapak ke bilik, lantas menghampar sejadah untuk solat Isyak. Sunat melambatkan solat Isyak dengan niat untuk mendirikan solat-solat sunat yang lain yakni Qiamul Lail. Kiblat yang mengarah ke arah matahari terbenam itu menghadap ke arah katil aku. Am dah mula berdengkur di katilnya. Aku geleng kepala saja sebab dia memang senang tidur. Campak jela dekat mana-mana pun, gerenti dalam 2,3 minit kemudian, dia akan tidur dengan dengkuran yang nyata. Tapi harus ada Manje dia la, kalau takde, aku pulak yang jadi mangsa jadi Manje dia! Ish! Itu la padahnya aku ketawakan Manje dia hari tu. Menyesal aku!
Aku mula mengangkat ta’biratul ihram dan mencuba untuk khusyu'. Namun, kelibat wanita berpakaian putih dan berambut panjang dari pandangan ekor mata aku secara tiba-tiba mengganggu solat. Dia tegak duduk di sudut katilku, merenungku tajam. Hati aku segera berdebar kuat, namun aku cuba bertenang. Mungkin cuma khayalan aku. Namun, selepas aku bangun dari sujud, 'dia' masih kaku di situ!
' Allahuakbar!' Sengaja aku kuatkan suaraku sebagai percubaan memberi amaran padanya. Lantas perlahan-lahan dia hilang dari pandangan. Berani betul kacau aku, tengah solat pulak tu! Mak ai. Mungkin betul apa yang disebut oleh Am tadi, kolej ni ada penunggu!
Selepas solat sunat beberapa rakaat, aku mencapai al-Quran dan mengalunkan ayat-ayatnya merdu. Pertengahan hingga akhir surah al-Hujurat menjadi bacaan aku. Aku cuba mengabaikan ingatan kepada gangguan 'makhluk' wanita tadi, namun semakin aku cuba lupakan, semakin bayangannya mengejar. Aku beristighfar. Ayat Kursi aku ulang dekat 10 kali. Kemudian, aku meletakkan kembali al-Quran tadi di dalam almari lantas ke meja studi dan membuka laptop. Aku menjadi khayal sejenak, hilang di dalam game yang baru aku pasang itu.
' Khairul..' Terdengar gemersik perlahan suara memanggil namaku sayu. Ahh, sudah! Dia datang lagi! Makin lama makin terasa dekat dengan telingaku, tanganku bergetar, aku dengan ragu cuba memberanikan diri memandang ke belakang, namun tiada apa-apa. Aku telan air liur untuk sekalian kalinya. Segera mp3 bacaan ayat al-Quran aku buka sekuat mungkin bagi menjadi 'pagar' dari gangguan makhluk ghaib. Game yang ralit aku main tadi terbiar begitu saja tanpa aku pausekan.
Seketika, suara yang memanggil aku tadi pun menghilang. Lega! Aku kembali menatap skrin laptop. Namun tak sampai 10 minit kemudian, telingaku menangkap satu bunyi ketukan di pintu. Dua kali. Aku yakin telinga aku tidak salah dengar. Aku memandang sekilas jam di tangan, 5 minit menghampiri pukul 1 pagi. Siapa pulak mangkuk yang datang bilik aku pepagi buta ni? Aku dengan malasnya bangun dan membuka pintu bilikku tanpa ragu, memikirkan itu mungkin kawan-kawan yang suka datang melepak di bilik. Namun, tiada sesiapa, cumanya angin sejuk sepoi-sepoi bahasa sahaja yang menerpa masuk ke dalam bilikku. Bulu romaku segera menegak. Bulu ketiak pun tak terkecuali!
Subhanallah! Segera aku menutup rapat dan mengunci pintu bilikku kemudian menuju ke katil sepantas yang boleh. Untuk malam ni, aku give-up! Laptop aku itu aku biar hidup, pandai la dia sleep sendiri nanti, fikirku. Aku sudah tak gigih nak menutup laptop yang nampak macam jauh aje untuk dicapai, yang aku terfikir sekarang ialah lari masuk dalam selimut dan selubung sampai kepala! Seram, seram!
Aku melompat ke atas katil dan segera baring. Selimut aku tarik laju. Aku tutup satu badanku dan aku mengerekot kemas di dalamnya. Dalam hati aku membaca ayat-ayat al-Quran sebagai pelindung sebelum tidur. Mulut terkumat-kamit tanpa ada sebarang bunyi. Aku mengambil keputusan untuk tidak menutup lampu. Sejenak, aku pun tertidur dengan hati yang sedikit tenang selepas aku membaca sebanyak mungkin ayat-ayat pelindung.
___
Geli.. Aku cuba menepis. Kemudian, tanganku seperti diusik lagi. Esh! Kacau betul la! Apa bendanya ni?? Aku segera membuka mata dalam keadaan sedikit marah. Pantang betul aku kalau orang kacau aku tidur! Tapi, aku hanya boleh menelan air liur sahaja melihatkan tanganku sedang diusap-usap lembut oleh 'seorang' wanita berambut hitam panjang. Dia duduk bersimpuh di sebelahku di atas lantai. Tak sejuk ke duduk atas lantai? Macam nak tanya, tapi aku tak terdaya nak tanya! Tak lama, dia pun sedar yang aku sedang memandang ke arahnya, lalu dia yang sedang asyik bermain-main dengan tanganku tadi segera berpaling memandang ke arahku.
Cantik! Cun gila! Dia tersenyum. Manis sangat, aku rasa terpukau sekejap. Namun, tak lama dia tersenyum, bibir yang berwarna merah saga dan berkilau itu berubah menjadi pucat, matanya yang redup sepantas kilat membulat dan taringnya dapat kulihat dengan nyata.
' Lailahaillallah!' Aku menempik kuat apabila dia cuba mencekikku dengan jari kukunya yang tajam. Aku membaca ayat Kursi di dalam hati sambil memejamkan mata. Tangan aku pulak dengan gigih cuba menolak tangannya yang sejuk beku itu daripada terus melakukan aksi maut yang sangat lah tak bertamadun ni! Seminit lagi dia cekik aku, mati dalam iman lah aku alamatnya! Namun, lama kelamaan, cekikan yang agak kuat tadi akhirnya lemah dan kemudian hilang begitu saja. Aku kepenatan kerana bergelut dengannya dan akhirnya aku tertidur kembali.
-----
Pagi esoknya, aku terbangun selepas terdengar bunyi alarm handphone Am. Kuatnya serupa bunyi mercun di malam Tahun Baru Cina. Pukul 6.30 pagi. Aku teringat peristiwa aku dicekik malam tadi. Tapi, aku sendiri pun tak pasti samada aku bermimpi atau pun apa. Aku bangun perlahan untuk ke tandas. Aku kembali ke bilik selepas mengambil wudhuk.
' Subhanallah!' Spontan aku terjerit. Muka Am tercongok di pintu bilik dengan mata layu mengganggu pemandangan. Tangannya menggosok-gosok malas mata kirinya. Hilang feel mengantuk dan ala-ala insaf mengambil wudhuk sebentar tadi. Aku mengurut dada. “ Esh! Kau ni Am, buat terkejut aku aje! Nasib takde sakit jantung, weh. Kalau tak, kau memang..”
' Eh, kenapa dengan leher kau, Rul? Siapa cekik kau? Biru semacam aje?' Mata Am membulat merenung leherku. Bebelan semulajadi aku tadi dipotong laju olehnya. Jarinya mencucuk-cucuk dan mengusik leherku. Aku tepis tangannya.
' Wei, sakitla. Yang kau cucuk-cucuk tu siapa suruh? Tapi entah lah, hantu kot yang cekik aku semalam.' Aku menjawab dengan nada bergurau. Sungguh aku tak perasan tentang keberadaan bengkak biru seperti yang dikatakan Am. Aku percaya dengan katanya itu pun kerana terasa keperitan akibat cucukannya itu. Wajah ayu sang hantu semalam menghiasi mata aku secara tiba-tiba membuatkan hati aku kembali berdebar.
' Gila kau! Kalau betul macam mana??” Am menepis kuat kataku, dengan maksud tersiratnya, aku tak nak ada hantu dalam bilik kita! Takut woo!
' Takde apa-apa lah, beb! Dah la, lewat dah ni, solat!' Aku menolak badan Am keluar dari bilik,
membiarkannya dengan persoalannya sendiri. Aku merenung leherku di dalam cermin sebentar sebelum ke tikar sembahyang.
------
Hari Khamis penuh dengan kuliahnya membuatkan aku terpaksa untuk melepak di fakultiku sahaja sepanjang hari. Pukul 5 sampai 7 petang merupakan kuliah terakhirku untuk hari ini. Gila lambat baru habis! Pensyarahnya pulak jenis strict bukan main, nak jugak tunggu sampai 7 tepat baru nak bagi kitorang balik. 7 lebih lagi bagus. Prinsip ISO katanya. Tapi, dia sendiri bising katanya ISO tu singkatan bagi ‘It’s So Over!’, namun apa jugak yang dapat dibuatnya, prinsip hidupnya melarang dia melanggar prinsip ISO itu sendiri.
' Woi, Ril! Kau tunggu sekejap, aku nak pergi toilet. Tak tahan dah ni!' Aku menjerit kuat lantas meletakkan beg sandangku di atas kerusi di luar lalu aku pantas menghilang di balik pintu utama bilik tandas itu. Aku selalunya akan pulang bersama-sama dengan Shahril yang membonceng motosikalku ke kolej. Shahril merupakan seorang teman baru yang agak baik dengan aku di fakulti, tambahan pula kami sekelas dan mengambil jurusan yang sama.
' Okay, aku tunggu dekat luar.' Terdengar sayup suara Shahril seakan tiada perasaan dari luar. Dia menunggu di atas kerusi panjang berdekatan dengan tandas di situ. Dia mengetap bibirnya sambil merenung ke arah pintu keluar utama fakulti. Keadaan fakulti itu menjadi semakin lengang apabila hari sudah menginjak ke senja. Ramai pelajar sudah pulang ke rumah atau kolej bagi merehatkan diri setelah penat seharian berada di fakulti.
' Khairul. Lama lagi ke?' Ketukan di pintu dan suara yang memanggil aku membuatkan aku bengang. Ish, kacau daun betul la! Baru aje kot aku masuk, takkan dah siap?? Memang nak kena luku namanya ni!
' Sabar la, Ril! Aku baru bukak zip aje ni!' Jeritku kuat dari dalam tandas. Kemudian aku terdengar derap kaki berjalan sayup-sayup ke sebelah bilik tandasku. Pintu tidak kedengaran ditutup, namun terdengar bunyi air paip yang dibuka perlahan bersama bunyi kepala paip dipusing.
' Siapa tu? Kau ke Ril?' Aku bersuara bertanya demi menghamburkan rasa hairanku, dan dengan segera air paip di sebelah ditutup. Eh, dalam tandas mana boleh bercakap la, makruh!
Dahiku berkerut. Aku mula berdebar. Semakin lama semakin kuat dan aku rasa mukaku dah hilang darah. Semuanya tersejat naik ke kepala, membuatkan aku rasa pucat semacam! Fikiran aku pula berubah menjadi tidak menentu. Bayangan hantu comel semalam menerpa lagi buat sekalian kalinya. Kenapalah perut aku nak buat hal waktu-waktu senja macam ni jugak? Aku bising di dalam hati sebagai tanda satu penyesalan.
Tik.. Tik..
Sedetik kemudian, aku terdengar air menitik. Aku abaikan. Aku cepat-cepat mencuci apa yang patut. Aku nak cepat-cepat keluar dari tandas ni. Ya Allah, Kau lindungilah aku. Dalam hati berdoa semoga dijauhkan dari segala gangguan. Namun tak sempat aku menzip semula seluar slack hitam aku, aku terasa ada air menitik di pipi. Aku sapu dengan tapak tangan, bukan air, tapi darah! Aku pandang ke atas dengan ragu-ragu, wanita berbaju putih dan berdarah di perutnya sedang melekat di siling tandas! Rambutnya yang panjang itu meleret sampai ke mukaku! Uhh, kenapa dia tak rebonding rambut dia ala-ala hantu Jepun dalam wayang tu, sedap sikit kot sapu muka aku ni! Ini kasar dan tajam serupa dawai aje aku rasa! Sempat pulak aku membebel. Semulajadi dow!
' Allahuakbar!' Dengan segera dan kuat kalah petirnya aku menjerit dan cuba membuka pintu tandas dengan gelabah untuk segera keluar. Suara hilaian wanita yang seram jelas kedengaran. Pintu tandasku seakan terkunci dari luar. Ya Allah! Bermacam surah aku cuba baca. Aku rasa surah Yassin dah tercampur dengan ayat Kursi dah selama aku cuba membaca! Dugaan apakah ini?? Ini kalau aku tak membuang air dari awal tadi, aku berani bet la gerenti terburai kat sini punya! Seramnya lain macam doh!
' Hik.. hik.. hik..' Suaranya kedengaran begitu dekat dengan telinga aku. Aku menoleh dan melihat wanita tadi sudah berada di belakangku, di atas peti pam air! Bila masa pulak dia mendarat kat situ?? Ishk! Sadis! Senyum sekejap, kemudian mukanya berubah menjadi sayu dan hodoh. Matanya mengalirkan darah merah segar menghiasi pipinya yang putih melepak seperti seorang Geisha. Lehernya pula dipusing-pusing ke kiri dan kanan sambil matanya tak lepas dari merenungku tajam dan dalam. Siap bunyi-bunyi macam tulang dipatah-patahkan.
Wah! Ini lagi sadis! Aku jadi terkelip-kelip. Kakiku mula ketar dengan sangat nyata. Aku berdoa moga aku pengsan saja di situ daripada menanggung ketakutan yang menggunung di mana keberanian hanya bersisa sedikit sahaja umpama kulit bawang. Tapi, yang peliknya, kenapa aku tak boleh nak pengsan?!
' Ke.. na.. pa..?' Aku tertanya soalan itu padanya. Nak jugak tanya kenapa dia asyik kacau-kacau aku, namun aku tak terdaya nak terus bertanya kepadanya lagi apabila tangannya mula dihulurkan ke arahku dengan kuku panjangnya. Bau yang tidak menyenangkan seperti bau bangkai mula hinggap menyinggah di salur pernafasanku. Aku memejam mata serapat mungkin. Dalam hati aku istighfar laju-laju dan mengucap dua kalimah syahadah berkali-kali, kalau ditakdirkan aku mati di tangan hantu, aku redha. Yeke redha?? Amalan aku tak cukup lagi, kahwin pun belum! Ish, tapi dia ni ayat Kursi pun tak lut, macam mana?!
' Rul!' Aku terdengar suara Ril memanggil. Aku buka mata sedikit. Ya Allah! Betul ke ini Shahril?? Shahril bin Osman anak keturunan Jawa tu?? Keraguan di hati tetap ada selepas tanggapan awal aku tadi meleset apabila sang hantu itu aku sangka Shahril. Kuku wanita tadi yang tak sampai 1 inci ingin mencecah ke mukaku segera terhenti. Dengan tak menyempatnya, dia melompat ke tandas sebelah dan pintu tandasku terbuka dengan sendiri. Aku menapak keluar dari bilik tandas itu dengan dada berdebar serupa nak pecah. Kaki dan lutut masih bergetar kuat. Muka pucat aku menunjukkan segalanya membuatkan hati dan benak Shahril timbul pelbagai tanda tanya.
5 ulasan:
seram jgk baca sorang2 ni .
hehe sila baca di tgh mlm sorg diri i.allah akan dapat lebih mud seram <3 tanx dear :)
sis nanti suroh hantu tuh rebond rambut die tau..hahha...bezzz sgt..
aduh...seram bangat nih cte nih...baru start follow nih...tang mane yg romantik ni...skip bc bab seram blh tak? huhuhu
hehe tanx miss hunny. rebonding ala2 entu jepun huhu.
romantik ttgh, rmntik xrmntik la, novel ni mmg tema pun seram2 gtu jdnya ttgh rmntik tu ada plak seramnya kekeke. tanx coz folo n komen! ;)
Catat Ulasan